KUALA LUMPUR – Tindakan Mahkamah Tinggi, di sini, melepas tanpa membebaskan (DNAA) Datuk Seri Najib Razak berhubung enam pertuduhan pecah amanah harta kerajaan disifatkan sebagai kemenangan kecil terhadap bekas Perdana Menteri itu.
Anak perempuan Najib, Nooryana Najwa berkata, keputusan hakim menunjukkan pendakwaan tidak berasas kepada bekas Ahli Parlimen Pekan berkenaan.
Nooryana Najwa yang juga Exco Puteri UMNO berkata, perjuangan untuk menuntut keadilan terhadap Najib bagi kes-kes lain yang sedang dihadapi akan diteruskan.
“Kemenangan kecil untuk menunjukkan tahap pendakwaan yang tidak berasas terhadap DSN. Kami masih meneruskan perjuangan kami untuk keadilan untuk kes-kes lain,” katanya dalam perkongsian di Instagram.
Najib diberikan DNAA berkaitan bayaran berjumlah RM6.6 bilion kepada International Petroleum Investment Company (IPIC), sebuah perbadanan milik kerajaan Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Jamil Hussin membenarkan permohonan Najib dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah melalui permohonan notis usul difailkan kedua-dua tertuduh hari ini.
Ketika membacakan keputusan itu secara ringkas, hakim berkata, mengikut fakta kes selain hujahan kedua-dua tertuduh, mahkamah membenarkan permohonan DNAA untuk enam pertuduhan itu.
“Pasukan pendakwaan tidak memenuhi sepenuhnya Kanun Tatacara Jenayah (CPC). Perintah ini juga memprejudiskan kes pendakwaan. Pendakwaan boleh tuduh kedua-dua mereka semula,” katanya.
Hakim juga memutuskan pendakwaan tidak memenuhi Seksyen 51A CPC menyebabkan kelewatan melampau walaupun kes sudah didaftarkan sejak 2018.
Najib ketika ini menjalani hukuman penjara selama 6 tahun dan denda RM50 juta selepas mendapat pengampunan berkaitan kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Najib telah memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk memulakan semakan kehakiman bagi mencabar kewujudan Titah Adendum didakwa dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 bagi membolehkan beliau menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan di rumah.
Pada Oktober lalu Mahkamah Tinggi memerintahkan bekas Perdana Menteri itu membela diri terhadap empat tuduhan menggunakan kedudukan bagi memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan 21 tuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama. -MalaysiaGazatte