Papan tanda yang mempamerkan dwibahasa kelihatan masih digunakan ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di sekitar Pasar Seni, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 26 NOVEMBER 2024

PENDIDIKAN memainkan peranan penting dalam memperkasa bahasa Melayu. Kurikulum sekolah perlu menekankan pengajaran bahasa Melayu dengan cara yang lebih menarik dan relevan.

Aktiviti seperti pertandingan penulisan kreatif, pidato dan drama dalam bahasa Melayu boleh membantu meningkatkan minat pelajar terhadap bahasa ini. Selain itu, integrasi penggunaan bahasa Melayu dalam subjek lain juga boleh memperkukuh penguasaan bahasa dalam kalangan pelajar.

Usaha untuk menerbitkan serta memperbanyakkan lagi buku – buku sains dan teknologi juga telah lama dimulakan. Buku-buku teks di sekolah terutamanya haruslah dikekalkan dalam Bahasa Melayu.

Pelbagai program dan aktiviti juga perlu giat dijalankan dalam bahasa Melayu seperti kem sains, bengkel inovasi ataupun bengkel Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Ini akan menaikkan lagi semangat dan memberi pemahaman yg baik kepada para pelajar untuk mendalami bidang sains dan juga teknikal. Pembangunan laman web e-estidotmy juga harus diberi pujian kerana telah berjaya menyediakan artikel bahasa Melayu dalam bidang STEM supaya ia lebih mudah difahami. Pendekatan ini telah berjaya menarik minat pembaca untuk lebih mendalami bidang tersebut.

Teknologi dan media

Teknologi digital menawarkan peluang besar untuk mempromosi bahasa Melayu lebih meluas serata dunia. Aplikasi pembelajaran bahasa, permainan interaktif dan platform media sosial yang tumbuh seperti cendawan selepas hujan juga boleh digunakan untuk mengajar dan menggalakkan penggunaan bahasa Melayu.

Media sosial turut menyumbang usaha dalam memperluas penguasaan bahasa Melayu melalui pengisian kreatif seperti video pendek dan infografik dalam bahasa Melayu. Ini secara tidak langsung dapat menarik minat generasi muda masa kini untuk memperluaskan lagi penggunaan bahasa Melayu dan membawa bahasa ibunda ini maju ke hadapan.

Teknologi kecerdasan buatan (AI) juga perlu digunakan sebaik mungkin dalam memperluas penggunaan bahasa Melayu. Namun, pengetahuan bahasa Melayu tetap perlu diutamakan tanpa bergantung penuh dalam keghairahan menggunakan semua kemajuan teknologi ini.

Tidak semua pengguna AI mempunyai pengetahuan yang baik dalam bahasa Melayu, terutama dalam konteks teknikal dan saintifik. Ini boleh mendatangkan cabaran dalam memahami dan menggunakan teknologi AI dengan berkesan. Kita tetap perlu merujuk kepada sumber – sumber rujukan bahasa Melayu sedia ada supaya maklumat yang diterima itu pasti kesahihannya.

Keluarga dan komuniti

Peranan keluarga dan komuniti juga dikira amat penting. Penggunaan bahasa Melayu dalam komunikasi harian di rumah adalah langkah pertama yang perlu diambil. Ibu bapa boleh membaca buku cerita dalam Bahasa Melayu bersama anak-anak, bermain permainan bahasa, dan menonton filem atau rancangan TV dalam bahasa Melayu. Di peringkat komuniti pula, galakan dalam mengadakan program seperti kelas bahasa, ceramah, dan bengkel boleh dianjurkan untuk mempromosikan penggunaan bahasa Melayu dan seterusnya dapat mengukuhkan lagi kedudukannya selain meluaskan lagi penggunaannya dalam komuniti setempat. Masyarakat patut berbangga kerana terus berusaha untuk menjaga dan memartabatkan bahasa Melayu sepanjang zaman.

Budaya dan seni

Budaya dan seni adalah medium yang kukuh untuk memelihara bahasa Melayu. Karya seni, lagu dan filem dalam Bahasa Melayu bukan hanya hiburan kosong yang hanya menghiburkan. Malah ia perlu dihargai dan diberi pengiktirafan. Festival bahasa dan budaya yang meraikan bahasa Melayu dan tradisi tempatan boleh membantu meningkatkan kesedaran dan minat terhadap bahasa ini. Luangkanlah sebahagian masa dalam menghayati seni dalam bahasa Melayu.

Para pejuang seni juga sepatutnya mengambil inisiatif dalam memartabatkan bahasa Melayu dengan menjaga sebaiknya penggunaannya tanpa merosakkan ia dengan menggunakan bahasa rojak dalam karya seni. Penggunaan bahasa rojak sebenarnya menunjukkan penguasaan seseorang penutur bahasa Melayu sangat lemah dan juga dilihat kurang atau tiada semangat cintakan bahasa kebangsaan.

Kerjasama dengan institusi

Kerjasama dengan institusi pendidikan, media dan industri adalah penting untuk memastikan penggunaan bahasa Melayu diperluaskan dalam pelbagai bidang. Institusi pendidikan tinggi perlu menggalakkan penulisan dan penerbitan ilmiah dalam bahasa Melayu. Media juga bertanggungjawab dalam menyediakan lebih banyak pengisian bahasa Melayu, manakala industri perlu memastikan keutamaan penggunaan bahasa Melayu dalam operasi harian mereka.

Mungkin kita pernah melihat beberapa inisiatif khusus yang sedang dijalankan untuk mempromosikan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan profesional seperti Program Inisiatif Memperkasakan Bahasa Melayu, yang mana Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah melancarkan program tersebut yang melibatkan pelbagai aktiviti dan kerjasama dengan institusi pendidikan dan organisasi profesional. Program ini bertujuan untuk mengukuhkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan komunikasi.

Antara usaha lain yang harus dicontohi dan dipuji adalah melalui penganjuran Karnival Memartabatkan Bahasa Melayu, Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI). Karnival MBMMBI ini dianjurkan untuk meningkatkan kemahiran dwibahasa dalam kalangan pensyarah, siswa guru dan komuniti setempat. Antara lain tujuan karnival ini juga untuk memperkasakan penggunaan bahasa Melayu di samping memperkukuh penguasaan bahasa Inggeris.

Istimewanya program ini, ia menonjolkan budaya berbahasa Melayu dan bahasa Inggeris yang betul melalui pelbagai etnik dan budaya bersesuaian dengan tema karnival ‘Seni Berbahasa Wahana Perpaduan MADANI’.

Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia turut mengambil inisiatif yang sangat baik dengan memperkenalkan dasar untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA). Ia juga akan diperkenalkan secara berperingkat di Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) bagi memastikan usaha memartabatkan bahasa kebangsaan di sektor pendidikan tinggi bersifat menyeluruh, praktikal dan strategik.

Pelan tindakan tersebut pada asasnya terdiri daripada empat objektif utama iaitu pertama; membudayakan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, kedua; menghasilkan graduan yang berketrampilan dalam bahasa Melayu. Ketiga; merealisasikan bahasa Melayu sebagai wadah pembangunan negara dan keempat, memperkukuh peranan bahasa Melayu sebagai sumber rujukan setanding dengan bahasa asing.

Dengan usaha bersama dari semua pihak, kita dapat memastikan bahasa Melayu terus hidup dan digunakan dengan lebih meluas. Memelihara bahasa Melayu adalah tanggungjawab kita semua demi memelihara identiti dan warisan budaya kita. Marilah kita bersama-sama memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang kita banggakan.

Oleh,

Nurulisyazila binti Othaman & Wan Hani Nazihah binti Wan Muda

Pusat Pengajian Bahasa, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here