KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu boleh datang dan berlindung di negara ini kerana Malaysia tidak mendandatangani Statut Rom.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, disebabkan itu Malaysia juga tidak mempunyai sebarang kewajiban untuk memenuhi pelaksanaan waran tangkap Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) terhadap Netanyahu.
“Statut menggariskan kewajipan negara pihak untuk bekerjasama dengan ICC, termasuk menangkap dan menyerahkan suspek dan memberikan bukti.
“Amerika Syarikat, China dan Rusia belum meratifikasi statut tersebut. Malaysia juga belum meratifikasi statut tersebut.
“Ini bermakna bahawa Netanyahu dan orang lain yang dinamakan oleh ICC boleh mencari perlindungan di Malaysia. Kita tidak diwajibkan untuk menangkap mereka,” kata Dr. Mahathir.
ICC minggu lalu membuat keputusan bersejarah apabila mengeluarkan waran tangkap terhadap Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan, Yoav Gallant atas tuduhan jenayah perang di Gaza.
Waran tangkap itu dikeluarkan berikutan pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan Israel ke atas Gaza memasuki tahun kedua dengan jumlah kematian rakyat Palestin melebihi 44,000 orang serta mencederakan 103,000 yang lain.
Pada April 2019 Kabinet yang diketuai Dr. Mahathir memutuskan Malaysia menarik diri daripada Statut Rom ICC kerana kekeliruan yang timbul dalam masyarakat serta disebabkan cubaan pihak tertentu untuk mengheret institusi Raja menentang kerajaan.
Mengumumkan keputusan itu, Dr Mahathir berkata, ada pihak menjadikan keputusan Malaysia menerima statut itu sebagai isu politik untuk memberi gambaran buruk terhadap kerajaan, khususnya beliau selaku Perdana Menteri.
Dr. Mahathir turut kecewa apabila ada pihak cuba mengheret institusi Raja untuk menentang kerajaan yang didakwa kononnya mahu menyerahkan kuasa kepada negara luar dan menghakis hak serta kekebalan Raja-Raja Melayu.
ICC yang ditubuhkan pada 2002 dan ditadbir mengikut Statut Rom adalah mahkamah jenayah antarabangsa pertama berasaskan perjanjian, bertujuan menamatkan kekebalan terhadap pelaku jenayah paling serius yang membabitkan pembunuhan beramai-ramai, jenayah perang serta jenayah kemanusiaan dan pencerobohan.
Dr. Mahathir pada waktu itu menegaskan, Statut Rom hanya memberi kesan kepada negara peserta yang melakukan diskriminasi atau pembersihan etnik di negara mereka.-MalaysiaGazette