KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) meminta Meta Inc menurunkan sejumlah 249,268 kandungan di Facebook (FB) sepanjang tahun ini.
Menteri Komunikasi, Ahmad Fahmi Fadzil berkata, daripada jumlah itu 91.6 peratus adalah kandungan perjudian dalam talian dan scam (penipuan).
“Daripada FB sahaja jumlah perjudian dalam talian berjumlah 172,072 manakala jumlah scam (penipuan) adalah 56,136, menjadikan jumlah ini 91.6 peratus daripada kandungan yang diminta oleh SKMM untuk diturunkan,” katanya dalam dalam sesi penggulungan Belanjawan 2025 di peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat, hari ini.
Fahmi berkata, jumlah tersebut tidak termasuk pelacuran, iklan produk perkhidmatan yang tidak dibenarkan dan isu-isu yang berkaitan dengannya.
Justeru itu, Fahmi berkata, kementeriannya akan membuat satu pengumuman kepada umum mengenai perincian jumlah kandungan yang diminta oleh SKMM untuk diturunkan oleh Facebook.
“SKMM tidak boleh mengarahkan dan hanya meminta pengendali platform, dan terpulang kepada platform untuk turunkan.
“Bukan semua permintaan SKMM itu datang daripada saya, aduan terhadap SKMM boleh dibuat oleh sesiapa sahaja, saya tidak dimaklumkan dan MCMC tidak meminta pengesahan sebelum mereka mengambil tindakan kerana mereka ada kuasa untuk berhubung dengan platform-platform ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette