ALOR GAJAH – Tahanan lelaki Indonesia yang meloloskan diri dari pekarangan Kompleks Mahkamah Alor Gajah pagi semalam dipercayai masih bersembunyi sekitar Melaka Pindah, di sini.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Ashari Abu Samah berkata, polis sudah meminta bantuan daripada Pasukan Gerakan Am (PGA) untuk memburu tahanan berusia awal 30-an itu.
“Jejak terakhir suspek semalam masih di kawasan Melaka Pindah dan kita turut meminta bantuan PGA untuk mengesan suspek melalui Op Tutup dan Op Kesan yang dilancarkan semalam dengan menggunakan khidmat Unit Anjing Pengesan (K9).
“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta terus menghubungi balai polis berhampiran,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sementara itu, penduduk di Kampung Panchor, Durian Tunggal yang enggan dikenali berkata, sekumpulan remaja terlihat kelibat suspek dalam keadaan tangan masih bergari di kawasan itu kira-kira 7 malam tadi sebelum menghubungi polis.
Tinjauan MalaysiaGazette di kawasan terbabit malam tadi mendapati, beberapa anggota polis melakukan pencarian dan kawalan di kawasan sekitar sebelum beredar pada pukul 10 malam.
Semalam, media melaporkan Polis Melaka sedang memburu suspek yang berjaya meloloskan diri sekitar 10.10 pagi itu dalam keadaan kedua-dua tangan bergari di hadapan.
Suspek disyaki lari dengan memanjat pagar mahkamah menuju kawasan semak selepas menolak pegawai pengiring Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) ketika dalam perjalanan untuk dibawa masuk ke dalam kereta.
Tahanan dari Penjara Sungai Udang itu dibawa ke Mahkamah Alor Gajah untuk sebutan semula kes yang dituduh di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan iaitu penjawat awam dengan cuai melepaskan tahanan dan tahanan lari dari kurungan yang sah di sisi undang-undang. – MalaysiaGazette