KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan semua 14 individu yang didakwa menculik lelaki warga Palestin Omar Z. M. Albelbaisy, dibebaskan dengan jaminan RM50,000 dengan dua penjamin setiap seorang.
Hakim K. Muniandy ketika membenarkan permohonan itu, turut mengenakan beberapa syarat jaminan tambahan antaranya melarang mereka berkomunikasi dengan saksi-saksi pendakwaan sepanjang perbicaraan.
Beliau turut memerintahkan mereka melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan serta diarah menyerahkan pasport kepada mahkamah.
“Saya mengeluarkan perintah larangan bersuara (gag order) bahawa tertuduh dihalang mengulas atau membincangkan kes ini dalam apa jua bentuk media, penerbitan atau media sosial.
“Setiap tertuduh diingatkan supaya tidak terlibat dalam sebarang bentuk komunikasi dengan saksi pendakwaan, sama ada diniatkan atau sebaliknya, dan mana-mana individu lain yang mungkin ada kaitan atau tidak dengan kesalahan yang didakwa.
“Sebarang bentuk gangguan, ugutan dan pelanggaran syarat jaminan yang dikenakan akan memberi hak kepada mahkamah ini untuk membatalkan jaminan,” katanya.
Perbicaraan dijadualkan didengar pada 7 hingga 11 Julai tahun depan.
Mengikut pertuduhan, 14 tertuduh itu didakwa secara niat bersama menahan Omar Z. M. Albelbaisy Raeda untuk mendapat ganjaran iaitu rahsia maklumat membuat dan menyahaktif perisian komputer yang digunakan bagi menggodam telefon bimbit.
Mereka terdiri daripada Mohamad Norakmal Hassan, 43; Dody Junaidi, 44; Tengku Arif Bongsu Tengku Hamid, 41; Mohamad Naziree Mustapha, 41; Faizull Hardey Mohd Isa, 42; Muhammad Iqmal Abdul Rahis, 27; Mohamad Sufian Saly, 25; Mohd Zaidi Mohd Zain, 56; Tengku Hazarul Ismail Tengku Hamid, 51 dan Mohd. Azwan Jamaludin, 39.
Tertuduh lain ialah Nidarahayu Zainal, 36; Raibafie Amdan, 41; Muhammad Al Hatim Mohd. Fauzi; 25, dan Edy Ko’im Said, 42.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Jalan Mayang di sini pukul 10.40 malam, 28 September 2022 yang mana pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 30 tahun sehingga maksimum 40 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 30 tahun sehingga maksimum 40 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Badius Zaman Ahmad menawarkan jaminan RM200,000 bagi setiap pemohon dan syarat-syarat jaminan lain.
Ujar beliau, kes tersebut adalah serius dan menarik perhatian dunia manakala jaminan rendah dikhuatiri akan menyebabkan negara ini ditertawakan ramai pihak.
Pemohon-pemohon diwakili peguam Kelvinder Singh Sidhu, Adi Zulkarnain Zulkafli, Goh Cia Yee, Muhammad Amin Abdullah dan Wan Muhd Ariff Ameer Wan Normazlan.
Ketika berhujah bagi mengurangkan jaminan, mereka menyatakan jumlah wang jaminan yang dicadangkan oleh pihak pendakwaan terlalu tinggi kerana anak guam mereka tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah.
Mereka berkata, anak guam telah ditahan di penjara selama dua tahun dan sebahagian daripada mereka telah dibekukan aset selepas didakwa, selain mempunyai masalah perubatan dan anak kecil. – MalaysiaGazette