ISKANDAR PUTERI – Sejumlah 669 sekolah di Johor sudah digazetkan sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) untuk persediaan menghadapi bencana banjir.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Aznan Tamin berkata, daripada jumlah itu sebanyak 143 sekolah menengah di negeri ini digazetkan sebagai PPS.
“Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) sudah melakukan penyelarasan dan persediaan rapi terutama pusat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang digazetkan sebagai PPS atau sekolah terjejas bencana banjir.
“JPN mencadangkan supaya sekolah rendah yang dijadikan PPS dibuka dahulu jika berlaku banjir berbanding sekolah menengah terutama pusat peperiksaan SPM.
“Kita tidak mahu ganggu sekolah menengah terutama pusat peperiksaan SPM yang akan bermula 2 Disember ini, namun sekiranya bencana berlaku tidak dijangka dan terpaksa dibuka sebagai PPS, sudah ada produser operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Ia termasuk kaedah susun atur pusat peperiksaan di mana dewan peperiksaan akan diletakkan di aras tinggi manakala sekolah yang terjejas banjir pula, kita kan pindahkan pelajar ke pusat peperiksaan lain,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Bangunan Sultan Ismail di sini hari ini.
Monsun Timur Laut (MTL) 2024/2025 atau lebih dikenali sebagai musim tengkujuh di Malaysia dilaporkan bermula pada 5 November lalu dan berterusan sehingga Mac 2025.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip dilaporkan berkata, mengikut ramalan pihaknya, MTL kali ini akan membawa lima hingga tujuh episod hujan lebat.
Fasa awal MTL dalam masa dua bulan ini dilaporkan mengakibatkan episod hujan lebat yang dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah.
Dalam pada itu, Aznan berkata, aspek atur gerak pelajar terjejas banjir juga telah diselaraskan sejajar saranan Menteri Besar yang mahu ia diselaraskan lebih awal sebagai persediaan.
“Agensi kerajaan termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) selain Pengangkutan Awam Johor (PAJ) akan dikerahkan sekiranya memerlukan perkhidmatan trak, bas dan sebagainya supaya calon SPM terjejas banjir tidak ketinggalan mengambil peperiksaan,” katanya.- MalaysiaGazette