Anak dan ahli keluarga pasangan warga emas tidak dapat menahan hiba ketika ditemui di Unit Perubatan Forensik Hospital Jasin, Melaka hari ini

JASIN – “Maaf ya, kami belum bersedia,”.

Itu luahan sayu seorang daripada sembilan anak pasangan suami isteri, Husali Umar, 84, Mastura Said, 61 yang maut dalam nahas jalan raya di Kampung Lanchang, Jalan Jasin – Merlimau, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.15 pagi tadi, pasangan warga emas itu rentung bersama pemandu teksi S. Subbramaniam, 71, selepas teksi dinaiki hilang kawalan dan terbabas melanggar tembok jambatan menyebabkan kereta jenis Proton Iswara terbakar.

Sementara itu, suasana pilu dan hiba menyelubungi Unit Perubatan Forensik Hospital Jasin di sini apabila kesemua sembilan anak pasangan itu dan ahli keluarga masih terkejut dengan tragedi menyayat hati itu.

Kejadian kira-kira pukul 9.15 pagi itu mangsa suami isteri, Husali Umar, 84, Mastura Said, 61, dan pemandu teksi
S. Subbramaniam, 71, maut ditempat kejadian akibat rentung.

Usaha wartawan untuk mendapatkan reaksi mereka dibalas dengan senyuman meminta diberikan ruang untuk melalui tempoh sukar itu.

Setakat pukul 5 petang tadi, waris masih menunggu kedua-dua jenazah dilepaskan pihak hospital untuk dikebumikan hari ini.

Terdahulu, MalaysiaGazette melaporkan kesemua mangsa rentung bersama kenderaan ketika mangsa dalam perjalanan dari Semujuk menuju ke Merlimau untuk menziarahi anak lelakinya.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi dilaporkan berkata, kebakaran dipercayai berpunca daripada kebocoran gas asli (NGV) yang dipasang pada kenderaan akibat kemalangan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here