JOHOR BAHRU – Polis menahan bekas peserta program realiti komedi sebuah stesen televisyen berbayar bagi membantu siasatan berkaitan kes rogol seorang wanita berusia 20-an.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, suspek lelaki berusia lingkungan 40-an ditahan di sekitar bandar raya ini pada awal pagi tadi.
“Suspek ditahan awal pagi tadi dan disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.
“Kes dalam siasatan dan telah dibenarkan ditahan reman selama lima hari mulai hari ini sehingga 2 Disember depan,” katanya ketika dihubungi.
Sebelum ini, bekas peserta program realiti komedi musim satu tersebut pernah terlibat dalam beberapa program di negeri ini sebagai pengacara majlis. – MalaysiaGazette