GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyuarakan kebimbangan berhubung projek pembangunan berhampiran sebuah kondominium di Tanjung Bungah, di sini, yang didakwa telah menyebabkan kerosakan besar kepada alam sekitar dan penduduk.
Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, penggunaan jentera berat telah merosakkan paip air dan lubang kumbahan milik penduduk berhampiran.
“Pokok-pokok besar mengambil masa puluhan tahun untuk tumbuh namun ditebang dalam masa singkat sekali gus memberi kesan serius kepada keseimbangan ekosistem, kitaran air, perubahan iklim dan kestabilan tanah.
“Bagi hidupan liar seperti lotong pula berdepan risiko kelaparan atau mati susulan kemusnahan habitat.
“Pihak profesional yang terbabit dalam projek pembangunan mesti menyedari bahawa aktiviti pembersihan tanah memberi impak besar kepada ekosistem, kestabilan tanah dan sumber air,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Sehubungan itu, Mohideen menggesa kerajaan negeri, Jabatan Alam Sekitar dan pihak berkuasa tempatan untuk mengutamakan perlindungan hidupan liar dan alam sekitar dalam setiap keputusan pembangunan.
“Perlu perancangan teliti dan pematuhan kepada undang-undang alam sekitar untuk mengelakkan kemusnahan yang tidak dapat dipulihkan.
“Melindungi alam sekitar dan penghuninya harus menjadi keutamaan dalam setiap keputusan pembangunan,” katanya. – MalaysiaGazette