JOHOR BAHRU – Dua individu termasuk remaja bawah umur didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan perbuatan khianat menggunakan api, dua bulan lalu.
Tertuduh Chin Kah Ang, 20, dan remaja 15 tahun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakana di hadapan Hakim Datuk Kamal Arifin Ismail.
Mengikut kertas pertuduhan yang dibacakan bersama, kedua-dua tertuduh didakwa melakukan perbuatan khianat menggunakan api dengan niat untuk mengakibatkan kebinasaan membakar kereta Perodua Myvi milik Ho Kang Chun, 28, hingga menyebabkan pemiliknya mengalami kerugian lebih RM50.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Taman Bukit Indah di sini pada pukul 2 pagi, 22 Oktober lalu.
Bagi kesalahan tersebut, kedua-dua tertuduh boleh dihukum dibawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara selama tidak lebih 14 tahun dan boleh dikenakan denda.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lydia Salleh, manakala Chin diwakili peguam K Bharathi dan remaja berkenaan diwakili peguam P Rajagunaseelan.
Hakim, Ahmad Kamal Arifin menetapkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.
Mahkamah turut menetapkan 30 Disember sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen.- MalaysiaGazette