KUALA LUMPUR – Penghapusan peperiksaan berpusat seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) tanpa pendekatan alternatif yang lebih baik akan memberikan impak negatif kepada sistem pendidikan negara.
Naib Pengerusi II, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Pulau Pinang, Muhammad Danial Alimin berkata, dasar itu juga tidak menyelesaikan isu-isu mendasar dalam sistem pendidikan negara, khususnya berkaitan kelemahan pelajar dalam penguasaan asas 3M (membaca, menulis, dan mengira).
Tambah beliau, penghapusan UPSR dan PT3 juga memberi cabaran dalam menilai pencapaian pelajar secara adil dan menyeluruh serta menyebabkan ketidakselarasan standard pencapaian pelajar di seluruh negara.
“Pentaksiran bilik darjah mungkin tidak mencerminkan pencapaian pelajar yang sebenar kerana perbezaan dalam pelaksanaan antara sekolah-sekolah, khususnya di kawasan bandar dan luar bandar.
“Kelemahan penguasaan 3M juga menjadi punca utama pelajar tercicir daripada sistem pendidikan formal.
“Dalam situasi ini, kami percaya pemansuhan peperiksaan tidak akan membantu meningkatkan penguasaan asas pelajar, tetapi sebaliknya mengaburkan masalah sebenar,” kataya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memaklumkan kementerian itu mengekalkan keputusan pemansuhan UPSR dan PT3 di sebalik desakan beberapa pihak supaya peperiksaan terbabit dikembalikan.
Tambah Muhammad Danial, pemansuhan peperiksaan berpusat tanpa alternatif yang kukuh akan memberi kesan jangka panjang kepada kesediaan pelajar memasuki pendidikan tinggi dan pasaran kerja.
Jelas beliau, pihaknya bimbang sistem tanpa orientasi peperiksaan yang jelas akan melahirkan generasi pelajar yang tidak kompetitif, baik dari segi akademik mahupun kemahiran insaniah,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai alasan pemansuhan peperiksaan itu dikekalkan bagi mengelak tekanan kepada pelajar, Muhammad Danial berkata, masalah tekanan bukan berpunca daripada peperiksaan semata-mata, tetapi kerana kurangnya sokongan pembelajaran di rumah dan di sekolah.
Selain itu, ujarnya, pelajar juga berasa tertekan kerana kelemahan sistem pengajaran dan pembelajaran, khususnya di kawasan pedalaman dan beban kurikulum yang tidak relevan dengan keperluan sebenar pelajar.
“Tekanan dalam kalangan pelajar harus ditangani melalui penambahbaikan kurikulum dan sokongan psikososial, bukan dengan menghapuskan mekanisme penilaian standard yang penting,” katanya.
Sebagai alternatif, tambah beliau, pihaknya mencadangkan KPM melaksanakan peperiksaan berpusat dengan pengubahsuaian format yang dapat menilai aspek holistik termasuk kemahiran insaniah, bukan hanya pencapaian akademik semata-mata.
Selain itu, ujarnya, KPM juga perlu melaksanakan ujian khusus untuk mengesan tahap penguasaan 3M pelajar pada peringkat awal persekolahan. – MalaysiaGazette