KUALA LUMPUR- Jalan Kenyir-Aring di Hulu Terengganu, Terengganu ditutup kepada semua kenderaan susulan mendapan tanah yang teruk berlaku di Kilometer 187 hingga 189.
Foto dan video orang awam yang dikongsikan di media-media sosial menunjukkan mendapan tanah tersebut menyebabkan jalan terputus dan tidak boleh dilalui sepenuhnya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri, Ir Dr Hasli Ibrahim berkata, mendapan tanah di KM 187-189 Jalan Kenyir-Aring itu disedari semalam.
Menurut beliau, ia termasuk 31 jalan yang ditutup setakat ini selepas dinaiki air akibat hujan lebat.
Tambah Hasli, pihaknya sedang memantau lokasi bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini dan jalan berkenaan akan dibaiki apabila cuaca beransur pulih.
Menurut beliau, jalan lain yang ditutup adalah tujuh di Besut, Hulu Terengganu (sembilan), Setiu (enam), Kemaman (lima) dan Dungun (empat).