ISKANDAR PUTERI – Kerajaan Johor bersetuju memberi rebat sebanyak 30 peratus pada tahun depan susulan semakan semula cukai yang dikenakan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Pengerusi Jwatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Sukor Md Sukor berkata, langkah tersebut akan dilaksanakan 10 PBT di kawasan masing-masing.
“Sebanyak 10 PBT yang terlibat dengan penyemakkan semula cukai ini akan diberikan rebat atau potongan sebanyak 30 peratus daripada nilai penyelarasan cukai baharu tahun 2025.
“Antaranya Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT), Majlis Daerah Tangkak (MDT), Majlis Daerah Yong Peng (MDYP), Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR), Majlis Daerah Mersing (MDM) dan Majlis Daerah Labis (MDL),” katanya.
Beliau berkata demikian pada ucapan penggulungan pada persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Yang Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, di sini hari ini.
Mohd Jafni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai berkata, langkah tersebut dilakukan sebagai sebuah kerajaan yang sentiasa mendengar keluhan rakyat.
“Ini sebagaimana yang telah dilaksanakan oleh lima PBT lain pada tahun lalu. Semoga rebat ini dapat meringankan beban pembayar-pembayar cukai tersebut,” katanya.
Menurut beliau, secara keseluruhannya, bagi 10 PBT itu nilaian hartanah telah meningkat kepada RM29.93 billion iaitu 36 peratus dalam tempoh tujuh tahun, peningkatan 5 peratus setahun secara purata.
Jelasnya, antara faktor peningkatan nilaian hartanah adalah perkembangan ekonomi semasa, pembangunan yang pesat dan pelbagai, ubah tambah yang dilaksanakan pemilik itu sendiri serta tanah-tanah kosong yang kini giat dibangunkan menjadi tanah perumahan atau tanah komersial.
“Bagi mengimbangi kenaikan nilai hartanah yang tinggi ini, 10 PBT ini telah menyelaraskan semula kadar-kadar cukai agar tidak memberi kesan yang begitu ketara.
“Jumlah keseluruhan peningkatan cukai adalah sebanyak RM 36.91 juta dan purata kenaikan di bawah 18 peratus berbanding tahun 2013, atau (secara puratanya 2.6 peratus setahun) dan akan berkurang lagi setelah semua bantahan dipertimbangkan oleh PBT,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, sehingga kelmarin, daripada jumlah keseluruhan pegangan sebanyak 372,779 unit di 10 PBT terlibat, hanya 4,660 atau 1.25 peratus sahaja.
“Berbanding dengan pelaksanaan penyemakan cukai membabitkan lima PBT pada tahun lalu, jumlah yang membantah adalah sebanyak 20,018 bersamaan 2.48 peratus daripada keseluruhan jumlah pegangan 807,262,” ujarnya.- MalaysiaGazettKerajaan Johor beri rebat cukai PBT 30 peratus tahun depan