ISKANDAR PUTERI – Kerajaan negeri tidak pernah menganiaya perniagaan mana-mana organisasi Islam di Johor melainkan sudah terbukti menyeleweng daripada ajaran Al Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, siasatan yang dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Mufti mendapati GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) menggunakan perniagaan untuk ajaran sesat.
Atas alasan tersebut ujarnya, kerajaan negeri terpaksa mengambil tindakan terhadap organisasi itu setelah mendapati berlakunya pengabaian terhadap kanak-kanak dan golongan wanita.
“Kita ada bertemu dengan kanak-kanak kecil bayi hingga berusia 18 tahun di Bangunan Jabatan Kebajikan Masyarakat, ada yang digunakan sebagai buruh paksa.
“Islam juga tidak pernah mengajar untuk melakukan penganiayaan terhadap wanita, itu belum sentuh mengenai gangguan seksual, siasatan polis mendapati ia berlaku,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Penggal Ketiga Kali ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini hari ini.
Mohd Fared (BN-Semerah) berkata demikian pada sesi soalan tambahan Datik Jefridin Atan (BN-Kukup) sejauh manakah usaha yang telah dilakukan oleh Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dalam mendepani isu ajaran sesat dan juga pengabaian terhadap kanak-kanak serta penggunaan buruh paksa di negeri ini.
Beliau berkata, satu garis panduan Penubuhan Jawatankuasa Membanteras Isu Ajaran Sesat telah diangkat dalam Mesyuarat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) pada 23 Ogos lalu.
Jelasnya, jawatankuasa ini berperanan untuk mengenal pasti isu ajaran sesat yang timbul di negeri ini dan mencadangkan tindakan segera yang boleh dilakukan oleh pihak berkuasa dari sudut pemulihan akidah, undang undang Syariah dan juga tindakan undang undang di peringkat Persekutuan.
Oleh itu, katanya, pihaknya bertegas kepada mana-mana guru agama yang ingin kongsikan ilmu di negeri ini perlu mendapat tauliah terlebih dahulu dan menghormati undang-undang di negeri ini.
“Bukanlah mereka tokoh agama yang menasihatkan orang supaya ikut perundangan, maka mereka perlu lakukan yang sama. Jadi nasihat saya, mohonlah tauliah jika ingin berkongsi ilmu di Johor.
“Ada antaranya yang mohon tauliah tapi enggan hadir apabila dipanggil temu duga, katanya sebab sudah popular terpampang di kaca TV dan dada akhbar. Setinggi manapun kamu, syarat wajib dipatuhi,” ujarnya.- MalaysiaGazette