LONDON – Bintang muda Barcelona, Lamine Yamal melakar sejarah apabila memenangi anugerah Golden Boy 2024 selepas membantu Sepanyol muncul juara Euro 2024 dan pada usia 17 tahun.
Yamal adalah pemain keempat Barca memenanginya selepas Gavi, Pedri dan Messi.
Anugerah itu mengiktiraf pemain berusia di bawah 21 tahun beraksi di Eropah dan Yamal dipilih mengatasi pemain Real Madrid, Arda Guler dan pemain Paris Saint-Germain, Warren Zaire-Emery.
Yamal muncul pemain paling muda menang Euro apabila Sepanyol menewaskan England 2-1 di final dan pada majlis anugerah Ballon d’Or bulan lalu, dia menang Trofi Kopa bagi pemain terbaik dunia di bawah 21 tahun, muncul di tangga kelapan anugerah itu secara keseluruhan.
Yamal meneruskan persembahan cemerlangnya musim ini, menjaringkan lima gol dalam 12 perlawanan liga buat pendahulu La Liga, Barcelona, yang mana dia tampil dari akademi La Masia kelab itu sama seperti Lionel Messi.
Pemain England dan Real Madrid, Jude Bellingham meraih anugerah itu musim lalu dan pemenang terdahulu termasuk penyerang Perancis, Kylian Mbappe dan bekas penyerang England, Wayne Rooney.
Pemain tengah menyerang Barcelona berusia 18 tahun, Vicky Lopez pula memenangi anugerah Golden Girl. – Agensi