Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin.

MELAKA – Lebih 2,000 orang pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) seluruh negara akan mengikuti program JELITA@KPT Summit 2024 yang dianjurkan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) selama empat hari bermula dari 1 hingga 4 Disember ini di di Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal, Melaka.

Job Empowerment by Learning and Inclusive Technical Advancement (JELITA) di bawah program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dapat membantu meningkatkan ekonomi golongan wanita negara ini.

Naib Canselor UTeM, Prof Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, program melibatkan seramai lebih 2,000 orang pelajar yang mana 80 peratus adalah dalam kalangan mahasiswi dan selebihnya adalah mahasiswa dalam kalangan IPTA seluruh Malaysia.

Antara objektif program adalah untuk menyediakan peluang kepada graduan/pelajar wanita untuk meningkatkan kemahiran dalam pelbagai bidang dan memantapkan kemahiran insaniah yang berasaskan keperluan industri.

“Di samping itu, menyokong graduan TVET mendapat gaji premium melalui pensijilan berasaskan keperluan industri dan meningkatkan kebolehpasaran graduan wanita di Malaysia,” ujarnya dalam kenyataan.

Program terbahagi kepada dua fasa yang mana fasa 1 melibatkan latihan pensijilan telah pun berjalan dengan jayanya sepanjang bulan November yang bertempat di 4 zon melibatkan UTeM, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Malaysia Pahang Al Sultan Abdullah (UMPSA) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Sementara itu, fasa 2 pada 1 hingga 4 Disember ini melibatkan pengisian program seperti bengkel dan latihan, wacana motivasi, pameran produk penyelidikan inovasi dari Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN), pertandingan pitching pelajar melibatkan panel dari industri, sesi temuduga bersama syarikat, penyerahan surat penawaran kerja dan pertukaran Memorandum Persefahaman dengan industri.

“Pelbagai sektor industri melibatkan syarikat tempatan dan antarabangsa terlibat sama menjayakan program berimpak nasional ini dan pada masa yang sama mereka turut menawarkan lebih seribu peluang pekerjaan buat para peserta.

“Program ini turut dibariskan dengan sekumpulan penceramah ternama dari sektor korporat dan beberapa individu pempengaruh pilihan masa kini yang akan berkongsi ilmu dan pengalaman mereka kepada para peserta,” ujarnya.

Majlis Perasmian penutup pada 4 Disember akan dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan turut dihadiri oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Program turut dijayakan bersama oleh rakan strategik MTUN yang lain yang terdiri UniMAP, UTHM dan UMPSA. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here