TANGKAK – Polis menahan seorang lelaki warganegara Indonesia selepas melakukan samun menggunakan senjata di sebuah rumah kongsi, di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Superitendan Roslan Mohd Talib berkata, anggota di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak menerima laporan kejadian itu semalam.
“Hasil siasatan mendapati mangsa merupakan seorang lelaki warga Indonesia berusia lingkungan 30-an. Kejadian tersebut berlaku kelmarin dan mangsa mengenali suspek.
“Suspek telah mengacu sebilah senjata kecil dan merampas barangan milik mangsa serta wang tunai RM11,000,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, dalam kejadian tersebut mangsa mengalami kecederaan kecil di bahagian tangan kiri.
Menurutnya, bertindak atas maklumat sepasukan anggota dan pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Tangkak membuat serbuan serta tangkapan suspek berkenaan.
Hasil rampasan katanya, melibatkan sehelai baju hitam jenama Petronas, sehelai seluar jeans, dua telefon bimbit, satu beg pinggang, wang tunai dan sebilah pisau berukuran 19 sentimeter.
Jelas beliau, kes disiasat bawah Seksyen 394 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan selain Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1958.
Roslan berkata, bagi membanteras kegiatan jenayah, orang ramai boleh menyalurkan maklumat menerusi talian hotline IPD Tangkak 06-9785222.- MalaysiaGazette