KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga emas maut selepas terlibat dalam kemalangan empat kenderaan di Jalan Bahagia 8, Taman Minang, Cheras, Kajang Selangor, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 pagi, bekas pesara kerajaan berusia 74 tahun itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Nazron Abdul Yusof berkata, dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, mangsa berusia 74 tahun itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Siasatan mendapati ketika kejadian, mangsa merupakan bekas pesara kerajaan yang memandu Proton Saga dalam perjalanan balik ke rumah.
“Ketika melalui Jalan Bahagia 8, kenderaan dipandu mangsa dipercayai telah hilang kawalan lalu melanggar sebuah kereta yang diparkir di sebelah kanan jalan.
“Semasa mangsa ingin mengundurkan kenderaannya, pemandu tersebut sekali lagi hilang kawalan dan melanggar dua kereta sebelum melanggar pagar sebuah rumah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Nazron, semakan lanjut mendapati mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan luaran namun mempunyai sejarah sakit jantung.
“Mangsa telah dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.
Beliau juga meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh berhubung dengan pegawai penyiasat Inspektor Nur Faezah di talian 012-3268496. – MalasysiGazette