GEORGE TOWN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penaga, Mohd Yusni Mat Piah memohon maaf dan menarik balik kenyataannya berhubung kedudukan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa antara pemimpin terkaya di dunia.
Mohd Yusni (Pas) membuat permohonan maaf itu selepas Lee Boon Heng (PH-Kebun Bunga) membangkitkan Peraturan Mesyuarat di DUN Pulau Pinang supaya beliau menarik balik dan memohon maaf atas kenyataan ketika perbahasannya yang menggunakan sumber meragui bagi kedudukan kekayaan yang dimiliki Perdana Menteri.
“Saya menarik balik ucapan saya berhubung Anwar, mengenai kedudukan pemimpin dunia dan memohon maaf kepada semua ahli.
“Bagaimanapun bahagian tentang pengisytiharan harta dan aset yang dimiliki adalah benar,” katanya dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang hari ini.
Beliau turut mengakui ranking yang menjadi asas dakwaannya mungkin tidak boleh dipercayai selepas ditegur Speaker DUN, Datuk Seri Law Choo Kiang.
ARTIKEL BERKAITAN
Tuduh PMX terkaya: AMK gesa DUN Pulau Pinang gantung wakil rakyat Pas
Semalam, Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang mengecam tindakan tidak bertanggungjawab ADUN Pas yang menuduh Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pemimpin ke-17 terkaya di dunia.
Ketuanya, Fadzli Roslan berkata, tuduhan liar ini bukan sahaja memalukan tetapi juga membuktikan kecenderungan Pas untuk bermain politik fitnah demi kepentingan politik sempit mereka. – MalaysiaGazette