LONDON – Legenda Manchester United, Ruud van Nistelrooy dilaporkan semakin hampir kembali ke Liga Perdana Inggeris (EPL) untuk menjadi ketua jurulatih baharu Leicester City.
Pelantikan Nistelrooy yang berusia 48 tahun itu yang akan diumumkan secara rasmi dalam masa terdekat bagi menggantikan Steve Cooper.
Cooper dipecat berikutan kekalahan 1-2 Leicester kepada Chelsea hujung minggu lalu yang menyaksikan The Foxes menduduki tangga ke-16 dalam kedudukan liga dengan 10 mata.
Sebelum ini, Van Nistelrooy menjadi jurulatih sementara United selepas pemecatan Erik ten Hag di mana dia berjaya membawa kelab itu ke arah positif dengan mencapai tiga kemenangan dan satu seri.
Menariknya, dua daripada tiga kemenangan itu dicapai menentang Leicester yang pertama apabil menang dengan jaringan 5-2 dalam Piala Carabao dan kemudiannya menewaskan kelab sama 3-0 dalam EPL.
Biarpun mempamerkan prestasi memberangsangkan ketika membimbing United, Van Nistelrooy terpaksa angkat kaki dari Old Trafford berikutan ketibaan Ruben Amorim sebagai jurulatih baharu The Red Devils.
Khidmat dia kini ditagih untuk membawa The Foxes kembali mencapai kemenangan selepas kali terakhir mereka menang ketika menewaskan Southampton pada 19 Oktober lalu.
Perlawanan pertama Van Nistelrooy dengan Leicester adalah ketika mereka berkunjung ke Brentford di Liga Perdana pada Sabtu ini sebelum West Ham. – Agensi