ISKANDAR PUTERI – Jawatankuasa Pasukan Petugas Konflik Hidupan Liar menerima sebanyak 216 aduan gajah sejak awal tahun sehingga bulan lalu.
Pengerusi Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, Ling Tian Soon berkata, daripada jumlah itu 94 aduan di daerah Kluang diikuti Kota Tinggi (56), Mersing (45), Segamat (15) dan Batu Pahat (6).
“Jawatankuasa yang ditubuhkan ini bagi membincangkan isu konflik hidupan liar dan tindakan-tindakan yang perlu diambil dalam mengurangkan isu ini menerusi strategi jangka masa pendek, sederhana dan panjang.
“Antara tindakan yang sedang dan telah dilaksanakan adalah seperti menetapkan operasi translokasi bagi tahun ini sebanyak 10 ekor bagi gajah yang terkeluar dari kumpulan di kawasan-kawasan hotspot.
“Selain itu, perolehan lima kolar satelit dan pemasangan kolar satelit bagi memantau pergerakan gajah di daerah seperti Kluang, Kota Tinggi dan Mersing membantu operasi tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian pada ucapan penggulungan pada persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Yang Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, di sini, hari ini.
Tian Soon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Yong Peng berkata, pembangunan halangan fizikal sepanjang 16 kilometer di sempadan Hutan Simpan Panti dan Santuari Gajah Johor (JES) akan dilaksanakan dalam masa terdekat.
Beliau berkata, langkah tersebut bagi melindungi dan mengurangkan konflik hidupan liar di kawasan kampung khususnya di daerah terbabit.
Pihaknya turut mengaktifkan semula Akaun Amanah Gajah supaya projek pembangunan Food Bank Gajah dapat dibangunkan dengan dana yang mencukupi disamping dapat dilaksanakan secara tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan badan-badan korporat dan agensi bukan kerajaan.
“Sebanyak 21 lokasi pembinaan Food Bank telah dicadangkan di sepanjang jajaran koridor gajah yang berhampiran dengan ladang dan hutan dan kerajaan negeri berharap dan menggalakkan agar ladang-ladang yang bersempadan dengan jajaran koridor gajah dapat turut serta dalam usaha ini,” ujarnya.
Katanya, usaha itu tidak akan dapat dilaksanakan tanpa peranan semua anggota Jabatan Perhilitan negeri, khususnya para renjer Perhilitan yang bertungkus lumus tanpa mengira waktu dalam mengawal dan mengekalkan keseimbangan populasi hidupan liar di Johor. – MalaysiaGazette