Bangunan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Seorang peguam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas pertuduhan menyerahkan dokumen perintah perlindungan palsu kepada anak guamnya, Ogos tahun lalu.

Adly Zulfadhly Zulkefly, 29, didakwa menyerahkan dokumen perintah perlindungan pindaan (ex-parte) palsu bertarikh 3 Ogos 2023 secara tidak jujur kepada seorang ibu tunggal berusia 36 tahun.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di perkarangan Kompleks Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan di sini sekitar Ogos 2023.

Peguam berkenaan didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Vivi’Asnita Zaina’Larifin menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam Azlina Abdul Aziz memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya memberikan kerjasama baik sepanjang siasatan.

“Bapa tertuduh merupakan seorang peniaga dan tiada pendapatan tetap selain menanggung dua adik yang masih bersekolah,” katanya.

Adly Zulfadhly turut membuat rayuan sendiri dan memohon jaminan kurang daripada RM5,000 mengambil kira faktor dia merupakan seorang peguam dan hanya jumlah tersebut mampu dibayar oleh keluarganya.

Bagaimanapun, Vivi’Asnita membantah jaminan rendah dengan mengambil kira tertuduh bukan lagi seorang peguam.

“Di hadapan saya terdapat satu pengesahan Majlis Peguam Malaysia mengatakan sijil amalan tertuduh hanya sah pada 2023 dan Februari 2023 adalah kali terakhir tertuduh beramal sebagai peguam,” katanya.

Perkara itu bagaimanapun dibantah oleh tertuduh kerana mendakwa terdapat kemaskini berkaitan statusnya sebagai peguam.

Majistret M.S. Arunjothy membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin dan 5 Februari depan untuk sebutan kes. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here