PASIR GUDANG – Seorang pemandu grab berputih mata selepas rugi RM504,000 selepas diperdaya skim pelaburan saham dalam talian yang tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, mangsa yang merupakan seorang wanita warga tempatan berusia 44 tahun membuat aduan mendakwa diperdaya pelaburan tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam di sini Isnin lalu.
“Mangsa mendakwa telah terpedaya dengan skim pelaburan saham yang dilihat dalam laman Facebook pada Ogos 2024.
“Mangsa telah dimasukkan ke dalam satu kumpulan Whatsapp kumpulan saham itu dan setelah membaca penerangan dalam kumpulan tersebut, mangsa berminat untuk mencuba dan diberi tunjuk ajar tentang cara-cara untuk melabur,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, mangsa dijanjikan keuntungan sebanyak tiga peratus daripada modal pelaburan yang akan diperoleh segera dan berjalan selama tiga bulan.
Mangsa katanya, diarahkan untuk memuat naik aplikasi pelaburan bernama Arcadia Equity untuk urusan selanjutnya.
Disebabkan tertarik dengan skim pelaburan yang ditawarkan, beliau berkata, mangsa melakukan 10 transaksi pembayaran dari 17 Oktober hingga 21 November lalu ke dalam empat akaun berbeza keseluruhan berjumlah RM504,000.
“Sepanjang tempoh tersebut, mangsa mengatakan pada awalnya menerima pulangan sebanyak RM400,000 pada Oktober lalu menyebabkan mangsa menggandakan pelaburan sehingga sampai fasa keempat pelan pelaburan tersebut,” ujar beliau.
Menurutnya, pada awal November lalu mangsa dapat melihat keuntungan masuk dalam aplikasi Arcadia Equity dan cuba untuk mengeluarkannya tetapi tidak berjaya.
Suspek katanya, meminta mangsa membuat pembayaran lagi bagi meneruskan pelan pelaburan namun wanita tersebut enggan kerana memerlukan penambahan wang.
“Keengganan mangsa menyebabkan mangsa disekat dan tidak dapat akses tersebut, mangsa percaya dirinya telah ditipu dan tampil membuat laporan polis pada Isnin lalu.
“Kes disiasat bawah Sekysen 420 kanun keseksaan. Siasatan juga akan meliputi penglibatan keldai akaun sekiranya ada, tindakan akan diambil terhadap pemilik akaun tersebut,” tambahnya.- MalaysiaGazette