JASIN – Perjalanan pasangan suami isteri untuk menziarahi anaknya berakhir tragedi apabila kedua-duanya dan pemandu teksi dinaiki rentung dalam nahas di Kampung Lanchang, Jalan Jasin Merlimau di sini pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.15 pagi itu mangsa suami isteri, Husali Umar, 84, Mastura Said, 61, dan pemandu teksi S. Subbramaniam, 71, maut ditempat kejadian akibat rentung.
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi berkata, ketika kejadian, pasangan warga emas itu dalam perjalanan dari Semujuk menuju ke Merlimau untuk menziarahi anaknya.
“Nahas dipercayai berlaku apabila teksi jenis Proton Iswara dari Jasin menghala ke Merlimau dipercayai hilang kawalan dan terbabas melanggar tembok jambatan.
“Rempuhan kuat mengakibatkan teksi berkenaan terbakar dan kesemua mangsa rentung di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, kebakaran dipercayai berpunca daripada kebocoran gas asli (NGV) yang dipasang pada kenderaan akibat dari kemalangan.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette