KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen pembangkang mencadangkan agar pertugas sukarelawan yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibayar elaun.
Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) berkata, pihaknya menerima maklumat bahawa petugas sukarelawann tidak menerima elaun selepas bergadai masa dan nyawa untuk membantu mangsa banjir.
“Untuk petugas sukarelawan banjir, saya dimaklum tidak ada sebarang elaun diberikan kepada sukarelawan yang bertutas di PPS yang terdiri dari orang awam yang mana mereka kerja kadang-kadang seminggu, sebulan, mengurus ribuan mangsa terlibat, tetapi tidak ada satu sen elaun diberi berbanding ATM, Rela di mana mereka diberi sedikit elaun.
“Saya harap elaun petugas sukarelawan yang bertugas di setiap PPS seluruh negara hendaklah diberi keutamaan dan perhatian kerana mereka dari pagi balik malam, korban masa, kadang keluarga mereka tak sempat urus kerana mengurus mangsa banjir di PPS,” katanya ketika perbahasan Belanjawan 2025 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat.
Siti Zailah berkata, imbuhan itu bagi memberikan semangat kepada petugas sukarelawan untuk kekal bermotivasi menjalankan tugas mereka di kawasan-kawasan banjir.
“Isu dialami pegawai JKM mereka tak cukup tenaga tak cukup logistik kenderaan, ada tak makan sebiji nasi dari pagi sampai malam, yang sedih kenderaan untuk mengangkut bekalan makanan ke PPS itu juga kenderaan menyelamatkan mangsa banjir, kenderaan tak mencukupi,
“Saya nak tanya sejauh mana perancangan pihak kementerian untuk pastikan keperluan mangsa banjir diambil perhatian,” katanya.
Awal hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, setakat 9.32 pagi tadi, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 37,189 orang membabitkan 11,385 keluarga di enam negeri iaitu di Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis, Perak dan Johor.
Sebanyak 322 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di enam negeri setakat ini.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua jentera yang mengurus banjir diketuai Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. – MalaysiaGazette