BUTTERWORTH – Bekas penolong pegawai penyedia makanan sebuah hospital didakwa atas 11 pertuduhan menipu seorang wanita berhubung skim pelaburan emas ‘Paddy Jewellery’ yang tidak wujud sehingga membabitkan kerugian RM165,000.
Tertuduh, Rosdi Abd Malek, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Siti Zulaikha Nordin@ Ghani.
Mengikut 11 pertuduhan, lelaki yang masih bujang itu didakwa memperdayakan mangsa bagi menerima emas fizikal dengan mendorong menyerahkan wang tersebut dalam beberapa transaksi ke dua akaun bank milik tertuduh.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Persiaran 5/10, Bandar Putra Bertam, dekat sini, antara 20 Februari hingga 13 Julai tahun ini.
Bagi kesalahan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara antara setahun hingga 10 tahun, sebatan dan boleh dikenakan denda.
Ketika prosiding Timbalan Pendakwa Raya, Airina Syazreena Zainurin menawarkan jaminan RM4,000 bagi pertuduhan.
Bagaimanapun, peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Husna Ridzuan memohon jaminan minimum atas alasan tertuduh kini mengganggur dan perlu menyara ibu bapanya selain telah mengeluarkan RM35,000 untuk membayar jaminan bagi tiga pertuduhan lain di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 11 November lalu.
Majistret kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM33,000 untuk semua pertuduhan dan menetapkan 23 Januari depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen. – MalaysiaGazette