Antara barang yang dirampas pihak polis selepas menahan seorang remaja perempuan yang melakukan perbuatan khianat dengana api

ISKANDAR PUTERI – Polis menahan seorang remaja kerana dipercayai membaling bom petrol sehingga mengakibatkan sebuah kereta terbakar di Taman Damai Jaya, Skudai di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun membuat aduan kejadian tersebut.

“Semasa kejadian pada pukul 3 pagi, mangsa berada di rumah dan menyedari kereta miliknya yang diletakkan di pekarangan rumah dalam kawasan berpagar telah terbakar.

“Bertindak atas maklumat sepasukan anggota dari Balai Polis Nusa Bestari bersama-sama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri membuat tangkapan pada pukul 3.50 pagi,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, tangkapan tersebut melibatkan seorang wanita warga tempatan berusia 17 tahun.

Hasil semakan katanya, suspek tidak mempunyai sebarang rekod lampau dan hasil saringan air kencing mendapatinya negatif dadah.

Beliau berkata, pihak polis merampas barang-barang antaranya dua botol kaca, dua notis ugutan, satu tong mengandungi minyak petrol dan satu kereta biru gelap.

Jelasnya, siasatan awal mendapati suspek menerima upah daripada sindiket pinjaman wang tanpa lesen atau along untuk membuat ugutan jenayah dengan cara khianat dengan api ke atas kediaman mangsa yang gagal melunaskan pembayaran pinjaman wang.

Suspek sedang direman bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) selama enam hari bermula semalam hingga 2 Disember ini, katanya.

Menurut Kumarasan, siasatan dilakukan bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan iaitu khianat dengan api dan Seksyen 507 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah melalui komunikasi tanpa nama.

Beliau berkata, pihakya terus komited untuk membanteras sindiket pinjaman wang tanpa lesen.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan jenayah boleh menyalurkan ke balai polis berhampiran atau pusat kawalan daerah ini menerusi talian 07-5113622 @ hotline 07-5114486,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here