Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali diiringi pegawai penjara hadir bagi bagi mendengar rayuan terhadap sabitan dan hukuman penjara 12 tahun bagi kesalahan mengabai serta menganiaya seorang remaja perempuan sindrom Down ketika di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 07 MAC 2024.

KUALA LUMPUR – Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd. Razali hari ini menarik balik permohonan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara 12 tahun kerana mengabai serta menganiaya remaja perempuan Sindrom Down, Bella, tiga tahun lalu.

Sehubungan itu, Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid membatalkan permohonan tersebut selepas peguam Asyraaf Abu Bakar Hamzah yang mewakilinya memaklumkan wanita itu tidak berhasrat untuk meneruskan permohonan di Mahkamah Tinggi.

Semasa prosiding, Asyraaf berkata, Siti Bainun menarik balik permohonan yang difailkan pada 6 Jun lalu kerana mahu menumpukan perhatian kepada rayuan di Mahkamah Rayuan.

Dalam prosiding itu, pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Syajaratudur Abd Rahman.

Pada 2 Mei lalu, Hakim Datuk Noorin Badaruddin (kini Hakim Mahkamah Rayuan) mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun terhadap Siti Bainun, selepas menolak rayuannya.

Hakim Noorin turut mengarahkan pembelaan memfailkan permohonan baharu bagi menggantung pelaksanaan hukuman penjara 12 tahun sekiranya perlu.

Pada 3 Mei 2023, Hakim Mahkamah Sesyen, Izralizam Sanusi menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun selepas mendapatinya bersalah atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya Bella, 13.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman serta-merta di Penjara Kajang, selepas menolak permohonannya untuk menangguhkan hukuman.

Mahkamah turut memerintahkan Siti Bainun menandatangani bon berkelakuan baik selama lima tahun dengan seorang penjamin berserta cagaran RM5,000 dan melaksanakan khidmat masyarakat selama 200 jam yang perlu disempurnakan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara.

Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya mangsa sehingga mengakibatkan remaja perempuan sindrom Down itu mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju, antara Februari hingga Jun 2021.

Kedua-dua pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here