CYBERJAYA – Tujuh stesen pemancar dan 42 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) masih terjejas susulan banjir yang sedang melanda di negeri Kelantan dan Terengganu.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dalam kenyataan memaklumkan, setakat pukul 10 pagi tadi, enam stesen pemancar yang terjejas di Kelantan ialah di Bachok, Kota Bharu, Pasir Mas dan Tanah Merah. Manakala di Terengganu, sebuah stesen pemancar terjejas iaitu di Hulu Terengganu.
Katanya, daripada 42 NADI yang terjejas, 27 adalah di Kelantan, dan 15 di Terengganu. Kesemuanya terpaksa ditutup akibat ditenggelami air dan putus bekalan elektrik. Akses ke lokasi-lokasi NADI juga terhalang.
“Bagi memastikan mangsa-mangsa banjir yang berada di pusat pemindahan sementara (PPS) di kedua-dua negeri tersebut dapat terus berhubung melalui Internet, pihak MCMC Negeri telah menjalankan ujian liputan di beberapa PPS bagi memastikan liputan telekomunikasi berada pada tahap yang memuaskan,” kata MCMC.
MCMC, menurut kenyataan itu, dengan kerjasama penyedia perkhidmatan akan terus menjalankan pemantauan rapi di negeri-negeri yang terjejas akibat banjir khususnya infrastruktur telekomunikasi yang dianggap kritikal dan memastikan perkhidmatan telekomunikasi akan beroperasi sepenuhnya tidak lama lagi.