Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan empat dari kiri pada majlis pelancaran dua buah buku sempena SIBF 2024 di Shah Alam, Selangor, malam tadi.

SHAH ALAM – Pentas Utama Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2024 di sini malam tadi menyaksikan pelancaran dua buah buku yang sarat dengan nilai dan ilmu yang disempurnakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan.

Buku pertama berjudul Senandika Selatan Thailand: Luka Sembuh Parut Tetap Ada merupakan hasil karya intelektual Dr. Azlinariah Abdullah yang juga Editor Kanan di Astro Awani.

Melalui penceritaan yang mendalam dan penuh empati, buku itu membawa pembaca menyelami kisah-kisah suka dan duka masyarakat di wilayah selatan Thailand.

Konflik, trauma dan harapan menjadi tema utama yang diketengahkan dalam penerbitan itu yang Azlinariah dengan ketelitian dan sensitiviti yang tinggi berjaya mengupas isu-isu kompleks di wilayah tersebut dengan bahasa yang mudah difahami.

Lebih daripada sekadar melaporkan peristiwa, Azlinariah menerusi buku itu mengajak pembaca merenung berkenaan makna kemanusiaan, empati, dan perdamaian.

Melalui penceritaan yang menyentuh hati, Azlinariah turut mengajak pembaca memahami penderitaan, harapan dan semangat juang masyarakat setempat.

Karya itu bukan sahaja menyampaikan maklumat malah turut menggerakkan emosi dan mengajak pembaca untuk lebih peka terhadap isu-isu sosial.

Sementara itu, buku kedua, Corat-Coret Komunikasi di Lapangan Realiti oleh Jef Hazimin Jaafar (Air Liur Emas) merupakan panduan praktikal bagi mereka yang mahu meningkatkan kemahiran komunikasi.

Sebagai pengamal komunikasi berpengalaman, Jef Hazimin berkongsi tips dan strategi komunikasi yang efektif dalam kehidupan seharian.

Buku itu memfokuskan kepada komunikasi dalam realiti kehidupan, bukan sekadar teori-teori komunikasi semata-mata.

Penulis mengajak pembaca untuk lebih peka terhadap bahasa tubuh, intonasi suara, dan pemilihan kata.

Selain itu, beliau juga menekankan betapa pentingnya menjadi pendengar yang baik dan menyampaikan mesej dengan jelas serta efektif.

Kedua-dua penulis merupakan alumni Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan karya-karya mereka mencerminkan misi UIAM untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah turut memiliki kepekaan sosial dan mampu memberikan sumbangan kepada masyarakat setempat dan global.

Sementara itu, dalam ucapan pelancarannya, Zulkifli memuji kedua-dua penulis atas karya luar biasa mereka selain turut menekankan pentingnya buku sebagai wadah untuk menyebarkan ilmu dan budaya.

“Kedua-dua buku ini adalah manifestasi nyata daripada peri pentingnya penulisan. Mereka telah mencari kebenaran dan berusaha untuk menyampaikan kefahaman terhadap realiti sosial,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here