ALOR SETAR – Seramai 4,378 mangsa yang terjejas akibat banjir di Kedah ditempatkan di 34 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 8 pagi hari ini.
Sekreteriat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Kedah dalam kenyataan berkata, jumlah mangsa itu meningkat kepada 1,546 berbanding 12 tengah malam tadi.
“Kesemua mangsa itu terdiri daripada 1,432 keluarga membabitkan lima daerah yang terjejas iaitu daerah Pokok Sena, Kota Setar, Kubang Pasu, Sik dan Padang Terap.
“Daerah terjejas teruk setakat ini adalah Kubang Pasu dengan jumlah mangsa seramai 1,708 dan diikuti Padang Terap (1,145); Kota Setar (735),” katanya.
Semalam media melaporkan, paras air di empat sungai utama di tiga daerah di negeri ini sudah melepasi paras bahaya.
Berdasarkan laman Public Infobanjir, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaporkan, dua sungai di daerah Kubang Pasu iaitu Sungai Laka di Kampung Padang Pasir mencatatkan bacaan 22.95 meter melepasi paras bahaya 21.6m dan Sungai Bata di Kampung Bata mencatatkan bacaan 9.56 meter (9.14m).
Selain itu, Sungai Anak Bukit di Taman Aman daerah Kota Setar mencatatkan bacaan 3.01 meter (2.6 m) manakala daerah Padang Terap iaitu Sungai Perik di Kampung Perik melepasi bacaan paras bahaya 16.32 m (14.2 m). – MalaysiaGazette