KUALA LUMPUR- Empat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Kelantan iaitu PPS SK GUal Sintok, SK Gual Periuk, PPS SK Gual To’Deh dan SK Kedai Tanjung Pasir mengalami masalah bekalan elektrik.
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam kenyataannya berkata, mobile genset akan digunakan sekiranya perlu.
“Pihak TNB akan menutup bekalan elektrik sekiranya keadaan banjir bertambah buruk, berisiko serta membahayakan Penutupan bekalan elektrik akan dilakukan di pencawang elektrik yang terlibat bagi mengelakkan sebarang kemalangan atau kehilangan nyawa,” katanya.
Dalam pada itu, menurut NADMA, peruntukan untuk menguruskan bencana telah disalurkan kepada Kerajaan Negeri Terengganu dan Kelantan dan selaku urus setia kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP), NADMA akan sentiasa memastikan semua agensi meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi bencana di semua peringkat.
Tambahnya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga telah bersedia untuk mengaktifkan 8,481 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang mempunyai kapasiti untuk menempatkan lebih dua juta mangsa di seluruh negara.
“Bekalan makanan di setiap PPS adalah mencukupi dan logistik & fasiliti penyimpanan bantuan bencana yang disediakan oleh JKM.
“Antara jenis bantuan makanan yang diberikan kepada mangsa banjir di PPS adalah makanan berbungkus (packed food) dan bantuan gotong royong dengan kebenaran JPBD dan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB).
“Selain itu, bantuan lain yang diberikan adalah barang keperluan asas seperti hygien kit, kit keluarga dan refreshment kit. JKM juga memperkenalkan makanan retort sebagai makanan pemula kepada mangsa yang berpindah ke PPS,” katanya lagi.
Sementara itu, NADMA turut melaporkan 45 fasiliti kesihatan milik Kementerian Kesihatan terjejas akibat banjir setakat jam 4 petang tadi dengan kelantan mencatatkan 34 lokasi, Terengganu (10) dan Sik, Kedah (1).
Tambah NADMA, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) melaporkan terdapat 83 stesen pemancar telekomunikasi di seluruh negara terjejas akibat banjir.
Ia melibatkan Kelantan (72), Terengganu (8), Pahang (2) dan Johor (1).
“Tiada kes yang dilaporkan oleh pemberi perkhidmatan kepada MCMC mengenai insiden melibatkan infrastruktur komunikasi yang mengancam keselamatan orang.
“Namun pihak MCMC dan pemberi perkhidmatan sentiasa berwaspada dan menerima aduan dari awam dan mana-mana pihak sekiranya ada kes yang melibatkan ancaman keselamatan infrastruktur komunikasi untuk diambil tindakan selanjutnya,” kata NADMA lagi. -MalaysiaGazette