KUALA LUMPUR – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) menganjurkan Festival Kraf Pesona Tekstil bermula 28 November hingga 8 Disember 2024 dari pukul 10 pagi sehingga 10 malam bertempat di Kompleks Kraf Kuala Lumpur.

Penganjuran Festival Kraf Pesona Tekstil ini adalah bersempena Sambutan Hari batik Malaysia yang diadakan pada 3 Disember setiap tahun.

Bertemakan Pesona Kraf Tekstil, festival ini bertujuan untuk mengangkat hasil sentuhan kreatif dan ketelitian tangan usahawan kraf dalam menghasilkan produk tekstil tempatan merangkumi produk batik, songket, sulaman, tekatan dan jahitan yang beridentitikan Malaysia.

Festival ini melibatkan jualan daripada 126 orang usahawan kraf dari seluruh Malaysia khususnya produk kraf tekstil seperti batik, songket, sulaman, tekatan dan jahitan.

Selain itu, Jualan Rahmah Batik turut diadakan bagi meraikan Sambutan Hari Batik Malaysia serta menggalakkan orang ramai membeli dan m.miliki batik Malaysia.

Jualan ini adalah secara fizikal yang merangkumi pelbagai produk batik dengan tawaran harga serendah RM100 ke bawah.

Menurutnya, pelbagai pengisian aktiviti yang menarik disajikan kepada pengunjung seperti Demonstrasi Kraf (Sulaman Kelingkam, Sulaman Nyonya dan Sulaman Kebaya Dabung), Program Pengembangan Ilmu (Interaktif Kraf dan Fun Craft), Program Keunggulan Seni Kraf (Bicara Kraf dan Pameran Karya Agung), Pameran IKN, ‘ameran Produk Kraf Baharu dan Persembahan Kesenian dan buskers.

Pengunjung juga boleh menyertai Aktiviti Tarikan Pengunjung seperti Jom Membatik (28 November 2024), Pertandingan Permainan Rakyat (30 November 2024), Zumbatik (1 dan 7 Disember 2024), Pertandingan Mereka Corak Batik (5 Disember 2024), Batik Malaysia Treasure Hunt (8 Disember 2024), Pertandingan Fotografi Warna- Warni Kraf Tekstil Malaysia (28 November- 7 Disember 2024),
Reka Gubah Kek Batik (2- 3 Disember 2024), Gubah Bunga (2- 3 Disember 2024), Aksesori Batik (28 November- 8 Disember 2024), Semperit Batik (28 November- 8 Disember 2024) dan Lawatan Berpandu Berkumpulan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast