KUANTAN – Paras air sungai di Pahang berada pada paras terkawal pada petang ini meskipun terdapat trend menaik.
Berdasarkan laporan di laman sesawang infobanjir, Sungai Pahang di Jerantut Feri dan Kuala Tembeling, Jerantut serta Sungai Pahang di Lubuk Paku dan Sungai Jempol di Jengka 5 berada pada tahap amaran sehingga jam 4 petang.
Trend menaik direkodkan di Sungai Pahang di Lubuk Paku dan Sungai Jempol di Jengka 5, selain Sungai Cherating di Cherating dan Sungai Pahang di Kampung Chenor yang kini berada pada tahap normal dan waspada.
Namun terdapat beberapa hantaran di laman media sosial memaparkan kawasan kediaman mula dinaiki air berikutan hujan berterusan sejak tengah hari tadi.
Antara kawasan yang dilaporkan mula digenangi air antaranya Chengal Lempong dan Balok, di sini.
Menerusi hantaran tersebut, air didapati mula memenuhi jalan-jalan di kawasan kediaman dan mengakibatkan ia sukar dilalui kenderaan ringan.
Setakat ini Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Pahang belum mengeluarkan laporan berkenaan pembukaan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di mana-mana daerah.
Sementara itu, Jabatan Metereologi Malaysia (METMalaysia) mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan buruk yang dijangka berlaku sekitar Jerantut, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin sehingga Sabtu ini.
Manakala amaran hujan berterusan waspada pula di Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Bentong, Temerloh dan Bera. – MalaysiaGazette