KUALA LUMPUR – Selepas menunggu lebih setahun, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mahukan supaya rayuan terhadap sabitan dan hukuman atas empat pertuduhan jenayah, didengar di Mahkamah Rayuan secepat mungkin.
Syed Saddiq berkata, pihaknya baru menerima penghakiman bertulis Mahkamah Tinggi hari ini bagi membolehkan beliau memulakan rayuan berkaitan kesalahan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram (AMLA).
Ketika ini, rekod rayuan masih belum disiapkan dan pengurusan kes di Mahkamah Rayuan ditetapkan pada 16 Januari tahun depan.
Alasan penghakiman itu dikeluarkan selepas setahun Mahkamah Tinggi di sini menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan denda RM10 juta serta dua sebatan terhadap beliau atas kesalahan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan dua kesalahan di bawah AMLA.
“Setelah menunggu lebih 386 hari dalam debaran, akhirnya saya menerima penghakiman bertulis hakim Mahkamah Tinggi hari ini.
“Saya telah mengarahkan peguam Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden dan Datuk Hisyam Teh Poh Teik supaya bersedia mengemukakan rayuan dan berjuang untuk mendapatkan keadilan terhadap saya,” ujar beliau dalam hantaran di Instagramnya.
Syed Saddiq menyatakan demikian selepas media menyiarkan laporan mengandungi penghakiman bertulis kes yang diperoleh melalui laman web mahkamah hari ini.
Dalam penghakiman setebal 22 muka surat bertarikh semalam, Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid menggariskan alasan mengapa beliau mensabit dan menghukum Syed Saddiq atas keempat-empat pertuduhan.
Hakim berkenaan antaranya menolak pembelaan Syed Saddiq yang mendakwa tidak mengetahui transaksi pengeluaran wang RM1 juta daripada akaun Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).
Pada hemat hakim berkenaan, tindakan menyimpan dan membahagikan wang tunai yang dikeluarkan tanpa diletakkan di tempat yang selamat di pejabat Armada juga menimbulkan satu inferens niat jahat di pihak tertuduh.
Dalam kenyataannya, Syed Saddiq tetap berkeras untuk membersihkan nama di mahkamah meskipun mempunyai banyak peluang untuk menggugurkan kes.
“Saya memilih untuk meneruskan kes kerana percaya bahawa tiada sesiapa, walaupun yang berkuasa, harus berada di atas undang-undang.
“Jika ditakdirkan saya didapati bersalah selepas rayuan, saya berjanji untuk menghormati badan kehakiman sebagai sebuah institusi, tidak kira betapa menyakitkan atau tidak adilnya keputusan itu terhadap saya,” ujarnya. – MalaysiaGazette