KUALA LUMPUR – Usahawan dan pempengaruh terkenal, Khairul Aming `meranduk air’ membantu mangsa banjir di beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) di Kelantan, semalam.
Beliau mengagihkan bantuan keperluan asas dan menyediakan makanan kepada mangsa-mangsa yang terkesan di negeri kelahirannya dengan memulakan bantuan kepada penduduk Pasir Mas, petang semalam.
Menerusi hantaran di laman X, beliau berkata, pihaknya juga akan menghantar barang keperluan asas menggunakan lori hari ini.
“Pekerja saya akan beli dan menyediakan barang-barang keperluan asas dan menghantarnya menggunakan lori,” demikian menurut hantaran itu.
Beliau turut mengalu-alukan penduduk berdekatan Kota Bharu yang mempunyai roti, air mineral, tuala wanita, makanan dalam pek dan barang keperluan asas lain supaya segera mendermakannya.
“Mohon datang dan letakkan di kedai Nasi Berlauk Sudin di Sri Cemerlang,” katanya. – MalaysiaGazette.
ends.