SHAH ALAM — Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui masyarakat bukan Melayu masih ragu-ragu untuk menyokong parti itu walaupun sudah tahun bertapak di negara ini.
Perkara itu jelas Muhyiddin diterjemahkan dalam enam pilihan raya kecil (PRK) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini.
“Ada sokongan bukan Melayu, tetapi masih perlu ditingkatkan lagi. Maka, sebagai sebuah parti yang mendukung semangat nasionalisme baharu untuk Malaysia.
“Bersatu tidak hanya boleh bergantung kepada sokongan orang Melayu dan bumiputera untuk membentuk kerajaan,” katanya dalam ucapan Dasar Presisen sempena Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu, hari ini.
Hadir sama adalah Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin serta tiga Naib Presiden Datuk Dr Radzi Jidin, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Muhyiddin dalam pada itu menzahirkan jaminan kepada kepada masyarakat bukan Islam antaranya masyarakat Cina, India, Sikh dan bangsa lain di negara ini agar tidak bimbang kerana hak, kebajikan mereka akan terus dipertahankan seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.
Dalam pada itu, Muhyiddin turut menolak dakwaan partinya kini berpecah kepada beberapa kumpulan mahupun kem.
Dakwaan itu katanya, hanya cubaan untuk memecahbelahkan Bersatu dari dalam.
“Jangan ada yang kerjanya cucuk sana, cucuk sini. Kononnya ada kem itu dan kem ini.
“Ada kumpulan itu dan kumpulan ini yang akan melemah dan memecahkan kita. Ini semua karut. I will never condone this nonsense in our party (Saya tidak akan sekali-kali membenarkan perkara karut ini dalam parti kita),” katanya lagi. – MalaysiaGazette