KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengemukakan keterangan setebal 525 muka surat ketika membela diri terhadap empat pertuduhan menggunakan kedudukan bagi memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan 21 tuduhan pengubahan wang haram.
Bekas Perdana Menteri yang juga bekas Menteri Kewangan itu dijangka menjawab semua tuduhan berkenaan pada prosiding bela diri kes penyelewangan dana 1MDB di Mahkamah Tinggi di sini bermula Isnin ini.
Najib memilih untuk membela diri melalui keterangan bersumpah daripada kandang saksi dan boleh disoal balas oleh pendakwaan.
Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib memberitahu pihak media, pasukan peguam bela Najib diketuai Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sudah mengemukakan salinan dokumen itu melalui e-mel kepada pihak pendakwaan, semalam.
Pada 30 Oktober lalu, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini hakim Mahkamah Rayuan) memerintahkan Najib membela diri terhadap semua 25 tuduhan selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.
Katanya, selepas membuat penilaian maksimum, mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan inti pati bagi semua empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukan dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram.
Bekas Ahli Parlimen Pekan itu menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.
Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di sini antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014 manakala bagi pertuduhan pengubahan haram pula antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013 di lokasi sama.
Pertuduhan itu adalah mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi.
Bagi 21 pertuduhan lagi, Najib didakwa membabitkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu menerima, memindahkan dan membayar jumlah sama hasil daripada aktiviti haram.
Najib didakwa atas 16 pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram daripada akaun Tanore Finance Corporation di Falcon Private Bank, Singapura ke akaun AmIslamic Bank Berhad miliknya sebelum memindahkannya semula ke akaun milik Tanore semula berjumlah RM2,196,786,711.87.
Bagi lima pertuduhan lagi, Najib didakwa menggunakan hasil daripada aktiviti haram sebanyak RM20,000,000 untuk dibayar kepada Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), RM100,000 dibayar kepada UMNO Bahagian Batu Kawan, RM246,000 kepada Lim Soon Peng, RM2,000,000 kepada ORB Solutions Sdn Bhd dan RM303,000 kepada Semarak Konsortium Satu Sdn Bhd.
Bagi semua perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM5 juta atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette