KUALA LUMPUR – Sultan Nazrin Shah bertitah, rakyat menanggung beban berat ekoran perlakuan rasuah, ketirisan, penyelewengan, penyalahgunaan kuasa dan pecah amanah yang diibaratkan seperti barah yang sedang merosakkan anatomi negara.
Titah Sultan Perak, sistem pentadbiran, tadbir urus dan tata kelola berasaskan nilai, prinsip dan amanah perlu dijadikan teras dalam membentuk budaya kerja yang menjangkaui batasan kaum dan agama, status sosial dan ekonomi untuk memurnikan kecelaruan yang dihadapi.
“Ketika ini, amatlah mengaibkan negara dan sangat membimbangkan rakyat, perlakuan-perlakuan rasuah, ketirisan, penyelewengan, penyalahgunaan kuasa dan pecah amanah yang dilaporkan berlaku,” titah baginda pada Sidang Pertama Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya (UM) ke-64, di sini hari ini.
Istiadat Konvokesyen UM kali ke-64 membabitkan 16 sidang, berlangsung bermula hari ini sehingga 8 Disember.
Sultan Nazrin yang juga Canselor UM bertitah, tanggungjawab universiti tidak lengkap jika sekadar menghasilkan bilangan graduan yang ramai, sebaliknya universiti juga bertanggungjawab membentuk karakter dan membina jiwa insaniah graduan secara menyeluruh.
Titah baginda, aspek yang lebih penting ialah kejayaan universiti memupuk dan menyemai nilai murni dalam diri setiap graduan, agar memiliki kekuatan dalaman dan memahami aspek-aspek etika, moral, akauntabiliti, serta integriti apabila dipertanggungjawabkan dengan amanah.
“Insan yang benar-benar mengerti alam ilmu akan menjadi insan yang insaf akan kekurangannya, akan bersifat merendah diri dan tidak riak, menginsafi apa juga pencapaian yang diperoleh pada hari ini.
“Setiap insan mesti meletakkan pekerjaan sebagai amanah yang perlu dilakukan dengan cara terbaik, dan insaf bahawa setiap pekerjaan akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah Subhanahu Wata’ala pada hari kebangkitan nanti,” titah baginda.
Pada istiadat itu, seramai 9,253 graduan yang memenuhi kriteria akademik, layak dianugerahkan ijazah dan diploma; 598 graduan akan menerima ijazah Doktor Falsafah, 3,079 graduan ijazah Sarjana dan Diploma Pascasiswazah, 4,241 graduan ijazah Sarjana Muda dan 1,335 graduan Diploma Eksekutif dan Diploma.
UM berjaya melonjakkan kedudukan ke tahap 60 universiti terbaik dunia dalam QS World University Rankings 2024, selain menduduki tempat ke-12 di Asia dan terus unggul sebagai universiti terbaik di Malaysia. – MalaysiaGazette