Foto: Polis Daerah Tumpat

TUMPAT – Dua lelaki warga emas lemas di Machang, hari ini menjadikan korban banjir di negeri ini meningkat kepada lima orang setakat ini, kata Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat.

Beliau berkata, masing-masing yang berusia 72 dan 78 tahun dari dua kampung ketika itu memantau haiwan ternakan mereka di kampung terbabit.

“Dua mangsa itu ditemukan lemas di Kampung Kuala Sat dan Kampung Gelung Gajah serta enggan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).

“Saya menasihati orang awam yang terjejas banjir janganlah ingkar arahan pihak berkuasa apabila diminta berpindah ke PPS,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat hari ini.

Mohd Yusoff berkata, kedua-dua mangsa enggan berpindah kerana mahu menjaga haiwan ternakan seperti lembu dan kambing.

“Ada yang saya lihat siap membina rakit yang cantik bagi menempatkan haiwan ternakan untuk mengelak dihanyutkan arus deras banjir,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai jalan negeri di Taman Sri Bayu, di sini, yang menghubungkan bandar Tumpat ke Pengkalan Kubor kini terputus akibat banjir, Mohd Yusoff berkata, jalan terbabit tidak boleh digunakan dan kenderaan yang ingin ke Pengkalan Kubor perlu menggunakan laluan alternatif.

Beliau berkata, jalan berkenaan adalah jalan biasa dilalui pengguna jalan raya dari Tumpat untuk ke Pengkalan Kubor.

“Saya dapat maklumat beberapa kereta telah dihanyutkan arus deras, namun tiada individu tampil membuat laporan polis,” katanya.

Mohd Yusoff berkata, pada asalnya jalan berkenaan berada di kedudukan tinggi yang dijadikan tempat meletak kereta oleh penduduk kampung susulan banjir.

“Jadi apabila banjir, pemilik meninggalkan kereta mereka dan pergi (berpindah) ke PPS. Arus deras banjir kemudiannya menyebabkan jalan itu mendap,” katanya.

Beliau sehubungan itu menasihati orang ramai supaya tidak berkumpul di lokasi kejadian disebabkan kawasan itu tidak selamat dan boleh runtuh pada bila-bila masa. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast