KUALA LUMPUR – Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar disifatkan mementingkan agenda politik berbanding kepentingan rakyat yang menjadi mangsa banjir.
Menurut Setiausaha Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub, ia terbukti apabila Ahmad Samsuri memilih menghadiri Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kali ke-7 yang diadakan di Shah Alam berbanding bersama-sama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang ke negeri itu semalam bagi meninjau keadaan banjir.
“Ahmad Zahid sendiri ada program yang ditetapkan lebih awal bagi merasmiian MAT (Mesyuarat Agung Tahunan) Mubarak di Kuala Lumpur tapi terpaksa mewakilkannya kepada Menteri Besar Perak merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Saarani Mohamad.
“Bezanya Ahmad Zahid mengutamakan rakyat Terengganu demi rakyat tapi Samsuri mengutamakan parti rakan demi kuasa,” katanya dalam satu kenyataan.
Selain itu, Mustapha menganggap Menteri Besar Terengganu itu sebagai tiada adab kerana tidak bersama Ahmad Zahid bagi meninjau keadaan banjir di negeri itu semalam.
Jelasnya, meskipun tidak perlu dilayan seperti tetamu namun kehadiran Ahmad Zahid di negeri itu sepatutnya disambut oleh Menteri Besar meskipun berlainan ideologi politik.
Semalam, Ahmad Zahid yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat melawat dan menyantuni mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Matang dan Sekolah Kebangsaan (SK) Nibong
Ketika lawatan itu, beliau berkata, kerajaan sudah mengagihkan dana banjir sebanyak RM1,000 kepada setiap Ketua Isi Rumah (KIR) yang terjejas di seluruh negara bermula semalam.-MalaysiaGazette