Sultan PahangĀ Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah

KUANTAN – Sultan Pahang bertitah agar semua masjid dan surau di negeri itu melakukan solat hajat berikutan bencana banjir yang melanda di beberapa buah negeri akibat fenomena Monsun Timur Laut (MTL) ketika ini.

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah secara khususnya bertitah agar solat hajat dapat dilakukan di setiap masjid dan surau selepas solat Jumaat dan selepas solat Maghrib pada setiap hari.

Paduka Baginda bertitah, solat hajat diadakan bagi sama-sama mendoakan agar dihindarkan banjir, bala bencana dan supaya Allah mengangkat semua musibah dan sesiapa yang diuji dengan banjir selain diberikan keselamatan dan kesabaran.

Pada masa sama Paduka Baginda turut berdoa agar semua yang terlibat dengan banjir besar seperti di negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah diberikan kemudahan, kekuatan dan kesabaran untuk mengharungi musibah yang melanda.

Doa sama turut dipanjatkan agar negeri Pahang turut dilindungi dari sebarang bencana dan berada dalam keadaan selamat sejahtera, titahnya seperti laporan Kesultanan Pahang.

Justeru, Paduka Baginda meminta agar orang ramai mengambil langkah berhati-hati pada musim banjir dan menjaga keselamatan diri serta ahli keluarga masing-masing selain menghindari kawasan berisiko seperti sungai dan laut bagi mengelak sebarang tragedi.

Titah Sultan Pahang, ibu bapa dan penjaga diingatkan agar sentiasa memantau dan menasihatkan anak-anak supaya tidak bermain di tepi sungai atau longkang berhampiran kerana berisiko berlakunya perkara yang tidak diingini.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here