KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak hadir di Mahkamah Tinggi di sini sebentar tadi bagi membela diri terhadap empat pertuduhan menggunakan kedudukan bagi memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion melibatkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan 21 tuduhan pengubahan wang haram.
Bekas Perdana Menteri tiba kira-kira pukul 8.45 pagi dan disambut oleh sekumpulan penyokong setianya ketika kenderaan yang membawa beliau memasuki pintu pagar utama kompleks mahkamah.
Najib, 71, dijadualkan menjawab semua pertuduhan tersebut pada prosiding yang didengar di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini hakim Mahkamah Rayuan).
Pada 30 Oktober lalu, mahkamah memerintahkan Najib membela diri terhadap semua 25 tuduhan selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.
Najib memilih untuk membela diri melalui keterangan bersumpah daripada kandang saksi dan boleh disoal balas oleh pendakwaan. – MalaysiaGazette