JOHOR BAHRU – Polis menahan empat lelaki kerana dipercayai terlibat dalam pergaduhan di laluan pejalan kaki berhampiran Sungai Segget, Jalan Wong Ah Fook di bandar raya ini.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, semua suspek berusia 35 hingga 46 tahun itu ditahan semalam di lokasi yang dijadikan tempat mereka melepak.
“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku disebabkan seorang suspek yang dalam keadaan mabuk telah memulakan pertengkaran mulut dengan tiga suspek yang lain.
“Pertengkaran berkenaan kemudiannya bertukar menjadi pergaduhan fizikal yang menyebabkan dua daripada mereka mengalami kecederaan.
“Bagaimanapun, tindakan pantas anggota polis yang sedang menjalankan rondaan berjaya menahan empat suspek berkenaan selain turut merampas sebilah pisau panjang yang dianggarkan sepanjang 39.5 cm di lokasi,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, semakan rekod mendapati kesemua suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kesalahan jenayah dan dadah, namun tidak dikehendaki polis.
Menurutnya, semua suspek ditahan reman selama empat hari mulai semalam hingga Rabu ini bagi membantu siasatan.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan sengaja menggunakan senjata atau benda berbahaya.
Jika disabitkan kesalahan ujarnya, boleh dihukum penjara selama 10 tahun atau dengan denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.
Tambahnya, kes juga disiasat di bawah Seksyen 160 Kanun Keseksaan iaitu bergaduh di tempat awam, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga enam bulan atau dengan denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya.- MalaysiaGazette