Hector dalam sidang akhbar Liga Juara-Juara Asia Elite (ACLE) 2024, JDT FC Lawan Buriram United di Bilik Sidang Media Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, hari ini.

ISKANDAR PUTERI – Skuad Johor Darul Ta’zim (JDT) mahu mengekalkan momentum kemenangan sebelum ini semasa bertemu kelab Thailand, Buriram United pada aksi keenam Zon Timur Liga Juara-juara Asia Elit (ACLE) di Stadium Sultan Ibrahim di sini malam esok.

Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio berkata, anak buahnya bertekad untuk membenamkan Buriram United semasa bermain di hadapan puluhan ribu penyokong di gelanggang keramat tersebut.

Dalam saingan kejohanan terbesar Asia itu pada musim ini, JDT tidak pernah keciciran mata ketika bermain di laman sendiri setelah menang selesa ketika melayan kunjungan kelab China, Shanghai Shenhua dan kelab Korea Selatan Ulsan HD FC masing-masing dengan keputusan 3-0.

“Perlawanan ini amat penting bagi mencerahkan peluang untuk melayakkan diri ke pusingan seterusnya lebih-lebih lagi apabila beraksi di laman sendiri, kita tidak boleh tersalah langkah dan gagal memanfaatkan peluang ini untuk menuai tiga mata.

“Dalam saingan ACLE musim ini, JDT berjaya menunjukkan betapa kompetitifnya wakil tunggal dari Malaysia bersaing dengan kelab terbaik di rantau Asia, namun kami tidak boleh berpuas hati kerana perjalanan masih berliku dan kami amat perlukan kemenangan untuk melangkah jauh,” ujarnya.

Pengendali kelahiran Argentina itu berkata demikian dalam sidang akhbar Liga Juara-Juara Asia Elite (ACLE) 2024, JDT FC Lawan Buriram United di Bilik Sidang Media Stadium Sultan Ibrahim, hari ini.

Sementara itu, Bidoglio memberitahu, walaupun JDT terdesak untuk mencari kemenangan untuk berada di kedudukan lebih selesa dalam peringkat kumpulan, itu tidak menjejaskan mentaliti pemain kerana mereka sudah lali bermain dalam tekanan.

“Dalam setiap perlawanan yang kami harungi, kami anggap ianya sebagai aksi final dan pemain sudah terbiasa dalam situasi itu. Pemain berasa gembira malah teruja diturunkan menjelang perlawanan esok, ini mendatangkan kesukaran buat saya bagi memilih kesebelasan yang terbaik,” ujarnya.

Dalam pada itu, pemain bek tengah, Jordi Amat berkata, pertembungan esok adalah penting buat kedua-dua pasukan yang pada ketika ini mengutip tujuh mata daripada lima perlawanan, berkongsi mata dengan Shanghai Shenhua, Shandong Taishan dan Shanghai Port.

Katanya, kemenangan ini amat penting untuk mengukuhkan posisi JDT dalam saingan peringkat kumpulan seterusnya mendapat semula sentuhan kemenangan setelah tewas pada aksi di tempat lawan menentang Shandong Taishan, minggu lalu.

“Ini akan menjadi pertemuan antara pasukan terbaik di Malaysia menentang pasukan terbaik di THailand, kedua-dua mempunyai sistem permainan yang hampir sama. Jadi, ia akan menjadi perlawanan yang menarik, harapnya pasukan mampu pasukan menampilkan aksi terbaik sepanjang permainan.

“Situasi di bilik permainan sedikit berbeza setelah rakan-rakan merasakan pasukan mampu hasilkan keputusan yang lebih baik setelah tewas tipis 0-1 kepada Shandong. Oleh itu, ini adalah peluang untuk kami bangkit semula bagi mendapatkan rentak kemenangan,” ujarnya.

Katanya, dengan sokongan padu penyokong Harimau Selatan yang membanjiri Stadium Sultan Ibrahim, JDT pasti berupaya mendapatkan keputusan yang lebih baik dan tidak membenarkan lawan untuk mencuri sebarang mata.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here