KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah gerakkan 1,672 orang pegawai dan anggota polis serta 818 orang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) ke kawasan banjir.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut mengerakkan 230 aset kenderaan dan peralatan kecemasan termasuk 68 buah bot, 152 buah kenderaan pacuan empat roda, 51 buah lori, 15 buah kereta peronda, 13 buah van, dan sebuah helikopter
Manakala anggota Rela telah ditugaskan di kawasan terlibat banjir dan di 706 pusat pemindahan sementara.
Pasukan tersebut berperanan antaranya bagi pemindahan mangsa, kawalan keselamatan dan trafik, rondaan dan pemantauan kawasan berisiko bencana, penugasan di PPS dan pusat pangkalan bekalan hadapan, operasi pencarian dan penyelamatan serta penugasan pasca bencana banjir.
“KDN dan agensi di bawahnya sentiasa cakna dan prihatin dengan situasi semasa musibah banjir yang melanda negara ketika ini dan akan sedaya-upaya memberikan bantuan berkewajaran dari segi tenaga, logistik, aset, dan seumpamanya, bagi memastikan mangsa banjir disantuni sewajarnya.
“KDN menasihati orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan keadaan cuaca semasa dan perkembangan terkini bencana banjir dengan mengambil langkah berjaga-jaga serta peka dengan pengumuman semasa yang sahih melalui pihak berkuasa di samping media massa,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, Skuad Ihsan Madani KDN juga telah bersiap siaga untuk bantuan pasca banjir yang akan membantu mangsa banjir dan kerja pembersihan.
Selain PDRM dan Rela turut terlibat Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Penjara Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Agensi Antidadah Kebangsaan dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia.
KDN memberikan jaminan bahawa keselamatan harta benda mangsa-mangsa banjir sentiasa dipantau.
Tambahnya, JPN dan JIM akan menyediakan perkhidmatan penggantian dokumen penting seperti kad pengenalan, sijil lahir dan pasport secara percuma kepada semua mangsa banjir.
Perkhidmatan penggantian dokumen penting oleh JPN akan turut disediakan melalui bas bergerak di kawasan-kawasan yang terkesan.
Orang ramai diminta untuk sentiasa merujuk maklumat dan perkembangan cuaca terkini yang dapat diperoleh menerusi media sosial Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Agensi Pengurusan Bencana Malaysia (Nadma), aplikasi myCuaca.
Mereka juga boleh menghubugi MET Malaysia menerusi talian 1-300-22-1638, Pusat Kawalan Malaysia (MCC) PDRM menerusi talian 03-22663333 / 03-22663444 / 03-22663451 atau menghubungi talian MERS 999 untuk bantuan kecemasan.-MalaysiaGazette