Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Perjumpaan Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri bagi Bulan Disember 2024 di Puspanitapuri, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 02 DISEMBER 2024

PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar  Ibrahim menzahirkan rasa kagum dengan sikap reda mangsa-mangsa banjir dan kecekalan para petugas yang terlibat dalam misi bantuan dan menyelamat.

Menurut perdana menteri, rata-rata mangsa banjir yang ditemuinya semalam di Terengganu langsung tidak mengeluh dengan ujian Allah ini.

“Bila kita tanya tidak ada yang mengeluh, ini luar biasa rakyat kita padahal mereka terpaksa berada di pusat pemindahan sementara (PPS).

“Petugas (sukarelawan PPS) tentunya tidak mengeluh tapi yang terkesan banjir pun tidak mengeluh, mereka kata tidak mengapa air naik sampai pinggang, nanti surut kami balik rumah.

“Saya tanya makanan sedap? Mereka kata sedap, saya ingat sedap sangat mereka tidak mahu balik rumah pula,” katanya Majlis Perhimpunan Bulanan Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM), di Dewan De’ Seri Endon, PUSPANITAPURI hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Perjumpaan Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri bagi Bulan Disember 2024 di Puspanitapuri, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 02 DISEMBER 2024

Hadir sama adalah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadhillah Yusof.

Untuk rekod, setakat jam 7 pagi tadi, seramai 136,984 orang daripada 41,341 keluarga masih ditempatkan di 638 PPS di sembilan negeri.

Kelantan paling terjejas setakat ini dengan seramai 85,824 mangsa masih berada di 251 PPS membabitkan 26,799 keluarga daripada sembilan daerah.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan banjir di seluruh negara khususnya di Kelantan dan Terengganu amat membimbangkan dan lebih teruk berbanding 2014.

Katanya, keadaan dijangka semakin buruk dengan fenomena air pasang besar di Laut China Selatan dan di Selat Melaka, yang berada di puncaknya.

Namun, katanya, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangka berlaku pengurangan luruan hujan tidak lama lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here