Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir bagi membela diri berhubung kes penyelewengan RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 2 DISEMBER 2024.

 

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, beliau tidak pernah menjejakkan kaki ke AmIslamic Bank, Jalan Raja Chulan di sini pada 2011 yang boleh mengaitkannya dengan dakwaan penyalahgunaan kedudukan berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) atau SRC International.

Bekas Perdana Menteri turut menafikan pernah diminta oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjelaskan dakwaan bahawa beliau menggunakan kedudukan untuk suapan sekitar garis masa tersebut.

Ujar Najib, beliau mula-mula diberitahu mengenai penyalahgunaan kuasa di bank berkenaan yang didakwa berlaku di antara 24 Februari 2011 dan 14 Jun 2011 ketika pertuduhan terhadapnya dibacakan di mahkamah.

“Saya sangat hairan sehingga saya terpaksa bertanya kepada peguam saya mengenai dakwaan ini semasa pertuduhan dibacakan di mahkamah,” ujar beliau.

Ketika ditanya sama ada beliau mengingati pertuduhan pertama yang dihadapinya, Najib berkata, ia berkaitan dakwaan penyalahgunaan kuasa berhubung penyampaian memorandum bagi mendapatkan persetujuan Kabinet untuk penyediaan Jaminan Kerajaan kepada Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA).

Najib, 71, menyatakan demikian ketika membaca pernyataan pembelaannya bagi menjawab empat pertuduhan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB
dan 21 tuduhan pengubahan wang haram.

Bekas Perdana Menteri mengangkat sumpah sebagai saksi pertama pembelaan dan membaca jilid pertama mengandungi 335 muka surat dalam kandang saksi di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Mengikut pertuduhan, bekas Ahli Parlimen Pekan itu menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan RM2.28 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di sini antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014 manakala bagi pertuduhan pengubahan haram pula antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013 di lokasi sama. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here