KUANTAN – Polis menahan seorang kontraktor yang juga suami kepada Zahnita Wilson hari ini susulan pendedahan menjadi mangsa keganasan rumah tangga dalam media sosial.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu ketika dihubungi mengesahkan perkara berkenaan.
“Suspek berusia 46 tahun dan bekerja sebagai kontraktor binaan telah ditahan, hari ini.
“Suspek akan dibawa ke Mahkamah Kuantan esok bagi mendapatkan perintah tahanan reman,” katanya ketika dihubungi.
Menurutnya kes mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Seksyen 323 akta sama dan Seksyen 18 Akta Keganasan Rumah Tangga.
Terdahulu Zahnita atau nama lengkapnya Zahnita Dorothy Hussein Wilson, 39, sebelum ini mendedahkan bahagian mata kirinya lebam didakwa akibat dipukul suaminya.
Difahamkan, filem Gila-Gila Pengantin Remaja itu turut mengakui sudah lama menjadi mangsa keganasan rumah tangga.
Petelingkahan itu berlaku berlaku pada jam 10 pagi 26 November lalu apabila suaminya itu berang selepas Zahnita bertanyakan isu orang ketiga.
Sebelum ini, personaliti popular itu pernah memfailkan permohonan cerai terhadap suami di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, Selangor pada 2013.
Dia turut mendedahkan bahawa rumah tangga mereka sudah pernah bergolak sejak penghujung tahun 2011.
Pasangan yang mendirikan rumah tangga pada 2005 itu dikurniakan empat cahaya mata. – MalaysiaGazette